Terdapat banyak pintu masuk kedatangan Islam di negeri Sabah. Diantaranya ialah melalui Kuala Sungai Dumpil yang terletak pada grid GPS 5º54’0”N dan 116º2’5”E.
Kenapa? Tak percaya?
Tercatit dalam sejarah Sabah bahawa Islam tiba di Pantai Barat Sabah pada awal tahun 1900an. Namun ada beberapa masjid yang telah dibina pada awal tahun 1800an. Diantaranya ialah Masjid Kampung Ulu Putatan yang dibina sekitar awal tahun 1800an yang juga antara masjid tertua yang masih wujud di Putatan. Samada Masjid Kampung Ulu Putatan ini adalah yang tertua di Sabah berbanding dengan Masjid Hasabollah at-Tahiri di Sandakan yang dibina pada lewat tahun 1800an, hanya ujian ”carbon dating” sahaja yang boleh mengesahkan usianya.
Apakah kaitan Masjid Kampung Ulu Putatan dan Kuala Sungai Dumpil?
Mengikut ceritanya, pada awal tahun 1730an seorang pemuda bernama ”Dumpil” bersama rakannya bernama Qutub tiba daripada Brunei telah sampai ke sebuah kuala sungai (Sungai Dumpil) dan mendapati kawasan tersebut amat hijau dan kurang berpenghuni. Setelah mendayung mengikut sungai, beliau tiba di Bukit Kalam, Putatan untuk persinggahan. Sungai yang dilalui ini bertemu dengan Sungai Putatan di belakang bukit tersebut. Oleh kerana kedua-dua sungai tersebut datang daripada satu punca sungai daripada Gunung Bongkok, maka beliau menyusur mengikut arus keluar Sungai Putatan dan mendapati sebuah kawasan lapang tidak jauh daripada Bukit Kalam yang sesuai dengan tanaman seperti bersawah padi. Kawasan tersebut sekarang dikenali sebagai Kampung Ulu Putatan dan menjadi lokasi yang sesuai untuk mendirikan perkampungan.
Siapakah pemuda bernama ”Dumpil” tersebut? Mengikut cerita, beliaulah orang pertama bergelar diri sebagai Raja Dumpil di Sabah selain daripada Kesultanan Brunei pada masa itu iaitu Sultan Hussin Kamaluddin. Mengikut cerita, Sultan Hussin Kamaluddin pernah datang ke Sabah semasa pemerintahannya setelah mendengar khabar bahawa ada seorang Raja di Sabah yang memerintah sebuah kawasan walaupun Sabah ketika itu berada di bawah Kesultanan Brunei. Setelah menyamar diri, didapati bahawa orang yang bernama Raja Dumpil itu adalah anaknya sendiri iaitu Pangeran Anak Untung. Sultan Hussin Kamaluddin kemudiannya kembali ke Brunei tanpa ragu.
Makam Allahyarham Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin berada di lokasi grid GPS 5º52’45”N dan 116º3’1”E adalah bukti sejarah kedatangan Islam di Putatan sekitar awal 1730an.
Sebagai rekod, rakan Pangeran Anak Untung iaitu Qutub atau bergelar Pendekar Qutub, disemadikan di Bukit Mantukod (sekarang dipanggil Pulau Mantukod).
Kuala sungai yang tidak dikenali pada masa kedatangan Pangeran Anak Untung juga telah dinamakan sebagai Kuala Sungai Dumpil. Peta awal British lewat tahun 1800an menunjukkan sebuah tempat bernama Dumpil Point wujud dalam peta Sabah pada masa itu.
Pengkaji sejarah kedatangan Islam ke Sabah amat dialu-alukan untuk mengesahkan kesahihan maklumat ini untuk menjawab bila sebenarnya kedatangan Islam di Pantai Barat Sabah.
No comments:
Post a Comment